ULASAN Kita walaupun semuanya manusia, tetapi tidak sama di sudut latar budaya dan iklim yang kita hidup ataupun membesar.

Tempat, negeri, budaya, bahasa, taraf hidup, persekitaran dan seumpamanya mempengaruhi pembentukan minda, sikap, kefahaman dan juga penilaian terhadap sesuatu. 

Setiap kita mempunyai latar budaya dan adat yang berbeza. Islam tidak pernah memprogramkan manusia untuk memiliki hanya satu adat dan budaya sahaja dengan menghapuskan adat dan budaya yang lain. 

Islam tidak pernah menyatakan bahawa semua bangsa hendaklah menghapuskan budaya mereka dan bersatu dengan budaya Arab. Sama sekali tidak! 

Bahkan Allah yang menciptakan manusia Maha Mengetahui hakikat ini dan mengakuinya. 

Firman Allah (maksudnya): "Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuan-Nya." (Surah al-Hujurat: 13)

Ayat ini menyeru manusia atas nama manusia, bukan bangsa tertentu. Kemudian mengakui kewujudan pelbagai bangsa dan suku kaum. 

Tujuannya agar kenal-mengenal dan mempelajari sesuatu yang baik antara satu sama lain. Kelebihan tidak balik kepada jenis bangsa, tetapi kepada takwa. Inilah Islam.
Budaya diiktiraf
Islam tidak menghapuskan adat dan budaya kaum yang tidak bercanggah prinsip-prinsip yang Allah mahu dalam kehidupan manusia. Adat dan budaya yang tidak membawa kepada kesyirikan, kezaliman, kekejian, bidaah, pendustaan, khurafat dan keruntuhan maruah tidak ditentang oleh Islam.

Tidak penting adat itu berasal dari mana kaum sekalipun. Setiap kaum boleh mengekalkan adat dan budaya baik yang ada pada mereka. Bukan perjuangan Islam memaksa adat Arab ke atas bangsa lain. Begitulah juga sebaliknya.

Maka bukanlah perjuangan Islam itu memaksa bangsa lain berjubah dan berserban Arab. Tidak juga memaksa mereka memakan masakan Arab ataupun menggunakan ubatan Arab seperti yang disangka oleh sesetengah pihak. 

Bahkan Arab itu sendiri mempunyai perbezaan budaya dan adat disebabkan perbezaan kabilah dan tempat. Mereka yang hidup Syam umpamanya, tidak sama dalam banyak aspek dengan mereka yang hidup di Hijaz. Begitulah seterusnya. 

Sebab itu Ibn Taimiyyah (w 728H) apabila menyebut tentang pakaian dan makanan yang mengikut sunah menyebut: 

"Maka, bererti sunah Rasulullah SAW dalam hal ini adalah seseorang memakai pakaian dan memakan makanan yang mudah didapati dalam negerinya. Maka perkara ini berbagai-bagai, berdasarkan kepelbagaian negeri." (Ibn Taimiyyah, Majmu'ah al-Fatawa, 11/541, Riyadh: Maktab al-Abikan).

Nabi SAW tidak diutuskan untuk memperkenalkan design atau pun jenis pakaian, kasut, ubat, makanan yang berteras budaya kaum tertentu. Sebaliknya tugasan baginda menegakkan nilai-nilai yang mulia dan baik yang bersifat sejagat dalam kehidupan manusia. 

Manusia mungkin mempunyai bahasa yang sama, tetapi maksudnya berbeza. Tuak di negeri-negeri Utara Malaysia memabukkan dan haram. Namun ‘tuak' di Kelantan tidak memabukkan kerana ia merujuk kepada air nira. Maka tidak haram. 

Tentu sekali mengajak orang minum tuak di utara satu kesalahan, tetapi tidak di Kelantan. Memakai kain batik di Terengganu dan Jawa tidak dianggap menyerupai perempuan. Namun dianggap menyerupai perempuan di negeri-negeri Utara Malaysia. 

Anda tidak wajar memakainya ke masjid dan majlis orang ramai. Di Scotland, lelakinya memakai skirt (kilt) yang dianggap macam pakaian wanita di tempat lain. Lelaki Melayu memakai sampin dan baju Melayu yang berwarna lembut. 

Pakaian Melayu itu pada pandangan masyarakat lain bercirikan wanita dan tidak ‘cukup kelakiannya'. Namun tidak pada pandangan orang Melayu. Ia bergaya dan sangat lelaki.
Maka dalam memahami dan berdalilkan hadis Nabi SAW yang melarang lelaki menyerupai perempuan dan perempuan menyerupai lelaki itu hendaklah juga difahami budaya dan adat setiap kaum. 

Tidak boleh dihukum menyerupai wanita atau lelaki melainkan setelah difahami latar budaya sesuatu kaum. Saya teringat ada ‘ustaz' Arab dari negara tertentu yang mempertikaikan wanita Muslimah Malaysia memakai baju berwarna. 

Katanya, wanita hendaklah memakai baju berwarna hitam. Dia mungkin melihat Islam itu menerusi jendela budaya Arab di negaranya lalu dia ingin supaya budaya Arab itu dijadikan kewajipan ke atas bangsa lain. 

Saya kata kepadanya, itu budaya kamu, bukan penegasan Islam. 

Kata Aishah bint Sa'd:"Aku melihat enam dari isteri-isteri memakai pakaian mu'asfar (berwarna merah)." (Riwayat al-Baghawi dalam Syarh al-Sunnah). 

Ertinya isteri-isteri Nabi SAW pun memakai pakaian berwarna. Maka kata al-Imam Ibn ‘Abd al-Barr (w. 463): 

"Adapun wanita maka ulama tiada perbezaan pendapat bahawa harus mereka memakai warna mu'asfar (merah), mufaddam(tersangat merah), warna ros, merah tanah." (al-Tamhid, 16/123, Muassasah al-Qurtubah).
Fahami 'uruf'
Memahami latar kaum sebelum mengeluarkan pandangan hukum amatlah penting. Jangan hanya kerana sesuatu itu disebut dalam sesebuah kitab yang ditulis oleh pengarang yang mempunyai latar adat ataupun budaya tertentu lalu kita hukum perkara yang berkaitan budaya tersebut kepada kaum lain. 

International Islamic Fiqh Academy dalam sidang ke-5 pada 10-15 Disember 1988 mengeluarkan beberapa kenyataan berhubung dengan memahami ‘uruf (latar adat) sesebuah masyarakat dalam sesuatu fatwa. 

Antaranya disebut: "Tidak boleh bagi seorang faqih (ahli fekah) - sama ada dia mufti ataupun kadi- jumud - apabila memetik pandangan dari kitab-kitab fuqaha (sarjana fekah) tanpa meraikan (mengambil kira) perubahan uruf." 

Banyak dalil-dalil agama yang perlaksanaannya hendaklah dilihat kepada latar mereka yang terlibat. Umpamanya, Nabi SAW mengizinkan isteri mengambil tanpa kebenaran harta suami yang enggan mengeluarkan belanja untuk keluarganya. 

Ini berdasarkan keizinanan yang baginda sebut kepada Hind isteri Abu Sufyan. 

Sabda Nabi SAW kepadanya: "Ambillah apa yang mencukupi untuk engkau dan anak-anakmu." (Riwayat al-Bukhari). 

Hadis ini dijadikan asas dalam masalah ini. Ertinya seseorang isteri yang bersuami kedekut boleh mengambil hartanya tanpa izin untuk belanja keluarganya dengan kadar yang memadai. Namun kadar yang memadai itu berbeza antara sebuah keluarga dan keluarga yang lain.

Antara tempat dan tempat yang lain. Waktu dan waktu yang berbeza. Syarak hanya menyebut garis panduan umum, latar keadaan, tempat dan masa menentukan kadar yang mencukupi itu. Di sini datangnya peranan adat dan budaya setempat dalam menentukan perkara yang seumpama itu.

Fatwa atau pandangan hukum yang jumud ialah pandangan yang tidak mengkaji perbezaan latar budaya dan adat. Fatwa-fatwa yang seperti inilah yang mengharamkan sukan, persembahan kebudayaan, seni dan lain-lain. 

Fatwa yang jumud ini juga yang mengeluarkan hukum dalam buku-buku yang ditulis dalam masyarakat yang monarki untuk dilaksanakan dalam negara demokrasi. 

Fatwa yang jumud yang menyamakan kerajaan Nabi Sulaiman yang menjadi raja adil pada zaman baginda dengan raja lain yang penuh dengan sikap yang buruk, samseng dan rakus. Kejumudan juga menyamakan kerajaan Firaun dengan kerajaan demokrasi yang jauh lebih baik dari Firaun.

Budaya dan adat juga dibentuk oleh teknologi dan perkembangan ketamadunan manusia. Semuanya hendaklah diambil kira. Islam tidak menentang apa yang tidak menyanggahi prinsip-prinsipnya yang luhur. Maka, fahami latar budaya dan adat, baru keluarkan hukum.