Thursday, January 24, 2013

Puisi Sempena Maulidur Rasul





BAPA SEGALA CAHAYA (THE FATHER OF ALL LIGHTS)

Kau adalah perkara pertama yang diciptakan oleh-Nya,    
Dimaksudkan dengan Nur dan diertikan secara majazi,
50 tahun lamanya telah kau bersujud kepada-Nya,
Jauh sebelum  Adam  diciptakan  dari  tanah,

Sesungguhnya kau telah lama wujud,
Jauh sebelum  adanya  sesuatu  di alam ini,
Sebelum munculnya haiwan-haiwan  di muka bumi ini,
Hatta sebelum bulan, bintang  dan  cakerawala  yang menaungi  gugusan  bima sakti ini,


Selama 360,000 tahun kau  diciptakan  olehnya-Nya,
Dibentuk molek  dari  bahan-bahan  nan  tak  ternilai  harganya,
Kemuliaanmu  tiada  tolok tandingnya,
Tidak  terlawan  oleh kemuliaan hati 1001 wali  dan  sang saliq,

Kepalamu  dari  petunjuk,
Kedua belah matamu  dari  kesederhanaan  dan  kejujuran,
Lehermu  diperbuatkan  dari  kerendahan  hati,
Dahimu  dari  kedekatan pada Illahi,

Mulutmu  dari  kesabaran,
Lidahmu  dari kesungguhan,
Pipimu  dari  cinta  dan kasih sayang,
Perutmu  dari  tirakat  terhadap  makanan  dan  hal-ehwal  duniawi,
Kaki  dan lututmu  dari  mengikuti  jalan  yang  lurus,
Dan  pula  jantungmu  nan  mulia  dipenuhi  Rahman  dan Rahim,

Kau digambarkan  bagai  seekor  burung  nan indah  lagi  mengasyikkan,
Tersangatlah  lebih  megah  dari  sejuta burung  cenderawasih  di  angkasaraya,
Laksana  Si Muraq  di  dalam   Musyawarah  Burung,
Ini  burung  bukan sebarang  burung,
Bahkan  tersangatlah  jauh  lebih  mulia  berbanding mana-mana  burung,

Kepalamu Hazrat  Ali,
Kedua belah matamu  Hassan dan Hussein,
Lehermu  Fatimah  Az-Zahrah,
Kedua belah kepakmu  Abu Bakar  As-Siddiq dan Umar Al-Khattab,

Ekormu Uthman Ibni Affan,
Dadamu  Hamzah  Ibni  Abu Mutalib,
Dibelakangmu  Abbas,
Kedua belah  kakimu  Siti  Khadijah,

Sayugia  engkau  diperintahkan  oleh Yang Maha Esa untuk  merenangi  tujuh  lautan,
Sepuluh  ribu  tahun  lamanya  di lautan ilmu,
Sepuluh  ribu  tahun  lamanya  di  lautan  latif,
Sepuluh  ribu  tahun  lamanya  di  lautan  akal,

Sepuluh  ribu  tahun  lamanya  di lautan  fikir,
Sepuluh  ribu  tahun  lamanya  di lautan  rahmat,
Sepuluh  ribu  tahun  lamanya  di lautan  cahaya,
Hingga  tanpa  kusedari  sudah  70, 000 tahun  engkau  mengharungi  ombak  di  lautan-lautan  itu,

Setelah  selesai  7  lautan  kau  harungi,
Maha  Esa  Al- Muhyi  lagi  Maha  Berkuasa  berfirman,
Agar tubuhmu  digerakkan,
Maka menitislah dari  tubuhmu  titisan-titisan peluh,

Hatta  dari  titisan-titisan peluhmu menjadi  asal kejadian,
Segala  makhluk  yang  berada  di  alam  semesta  ini,
Dan  dianugerahkan  oleh-Nya  akanmu,
Juga  dianugerahkan  oleh-Nya  agar  berselawat  memuji  junjungan  besar kita,

Penghulu  segala  Nabi  supaya  mengenali  siapa pencipta  kita,
Supaya  kita  mengerjakan  suruhan-Nya  dan  membesarkan  amalan  kita,
Nur  Muhammad  namamu  diberi,
Sesungguhnya  kau  adalah  bapa segala cahaya  yang  menerangi  dunia  dari kegelapan jahiliyah,



No comments:

Cool Link's Mesti Clicks!

SocialPromoter

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Masuk Jangan Segan-Segan

Nak Ke Mana Pulak Tu?

Jangan Ke Mana-Mana!!

Wibiya Widget