Artikel ini hasil nukilan Norman Fernandez dan merupakan pendapat peribadi beliau untuk renungan kita bersama.
Oleh Norman Fernandez
Mengikut Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam Sinar Sabtu 13hb Julai, penggulingan Presiden Mesir Mohamed Mursi adalah lakonan ditaja negara sekular yang menolak parti gerakan Islam
Mengikut beliau rakyat Mesir yang miskin dan bodoh dipergunakan untuk berhimpun menyatakan bantahan dengan ada yang turut dibayar dan dikerah dengan duit upah dan kenderaan percuma yang disumbangkan oleh negara minyak Arab. Malahan mengikut Presiden PAS, protes dirancang dengan rapi dan sembunyi oleh tangan ghaib kuasa besar dan negara Arab sekitarnya.
Saya berpendapat ini adalah suatu analisa dangkal dan tidak berasas.
Hakikatnya, jutaan rakyat Mesir "miskin" dan "bodoh" yang memprotes untuk mengguling Mursi adalah rakyat sama yang telah mengakhiri rejim Hosni Mubarak. Rakyat "miskin" dan "bodoh" yang sama ini jugalah yang telah memberikan undi dan amanah kepada Muslim Brotherhood dan Mohamed Mursi. Rakyat telah mengharapkan Mesir baru dan agenda baru untuk Mesir. Namun, sebalik yang berlaku.
Sepanjang setahun Mohamed Mursi menyandang jawatan presiden, prestasi pentadbirannya hambar, kalut dan tanpa visi dan agenda untuk memulihkan negara dan menambahbaik kehidupan rakyat. Mursi sebaliknya memfokus dan ghairah dengan menempatkan dan menguatkan Muslim Brotherhood dan berusaha lebih untuk menukar wajah Mesir dari sebuah negara Islam sederhana kepada sebuah negara Islam beracuan Muslim Brotherhood. Bukan mengeret keluar Mesir dari kancah kemiskinan dan pengangguran ke era perubahan untuk memanfaatkan rakyat.
Yang jelas, rhetorik pekik-lolong adalah berbeza bila dihadapkan realiti. Mudah untuk memerintah tetapi bukan mudah untuk mentadbir. Ini yang berlaku kepada Mursi. Bila di beri mandat memerintah, beliau tidak tahu mentadbir.
Al-maklum pentas beliau selama ini ialah pekik-lolong membantah. Jadi, jalan paling senang ialah untuk Mursi dan Muslim Brotherhood menyakinkan rakyat memfokus kepada life after-death (akhirat) dan bukan life-on earth (duniawi).
Masalah negara sebaliknya dipersalahkan kepada Yahudi, Israel, Amerika dan Barat. Semua kepincangan negara salah mereka sahaja. Mursi atau Muslim Brotherhood tiada salah.
Tidak hairanlah rakyat Mesir yang tidak melihat apa-apa perubahan dibawah Mursi dan Muslim Brotherhood dan semakin menderita dan perit kehidupan akhirnya bangun sekali lagi menumpaskan Mursi dan kini menyalahkan Mursi dan Muslim Brotherhood untuk segala masalah yang telah berganda dibawah pemerintahan Mursi.
Rakyat Mesir lebih tahu, lebih arif dan telah akhirnya sedar tentang agenda sebenar dan muslihat tersirat Mursi dan Muslim Brotherhood.
Adalah amat menghina untuk Hadi Awang mengatakan rakyat Mesir kononnya telah dikerah memprotes dengan upah dan kenderaan percuma. Bagaimana perasaan Hadi Awang jika tuduhan yang sama dilemparkan bahawa mereka yang menyertai perhimpunan Bersih atau Blackout juga telah di kerah dengan upah dan bas percuma?
Hakikatnya, rakyat rasional Mesir adalah lebih daripada gerombolan Muslim Brotherhood. Apa yang telah ditunjukkan oleh rakyat Mesir adalah golongan Islamist tidak mempunyai daya mampu untuk mentadbir dan mengurus sebuah negara dengan baik. Apabila diberi peluang, mereka gagal dengan teruk. Ini hakikat dan sahih. Ini yang mengaibkan gerakan Islamist yang berinspirasi dan beracuan Muslim Brotherhood.
Rakyat Malaysia wajar celik mata melihat huru-hara dan haru-biru Mesir di bawah Mursi dan Muslim Brotherhood, dan was-was agar negara Malaysia yang indah dan tercinta tidak dinodai oleh mereka yang seimpian.
No comments:
Post a Comment