Assalamualaikum diucapkan buat pembaca sekalian yang sudi meluangkan masa bersama blog Kerambit Assassin's, kali ini Shacklesmith ingin membawa satu topik baru untuk diperbincangkan. Ianya merupakan salah satu yang cabang ilmu yang amat aku minati selain ilmu sejarah dan sosial politik. Topiknya adalah berkaitan dengan IT yang juga merupakan bidang pelajaran dan kerjaya buat aku sendiri. Walaupun aku bukanlah seorang profesyional dalam bidang ini sendiri kerana masih banyak yang perlu dipelajari. Baiklah, pada hari aku akan berikan serba ringkas dan lengkap mengenai Jenayah Siber. Sesungguhnya di zaman serba canggih ini jenayah tidak terhad pada real life semata-mata. Malahan turut berlaku di dalam ruang maya iaitu internet sendiri. Jom ikuti penjelasan mengenai apa itu Jenayah Siber mengikuti pendapat aku sendiri.
Bahagian 1
Jenayah siber atau lebih dikenali dalam istilah Inggeris, cybercrime adalah merujuk kepada perlakuan jenayah yang menggunakan computer ataupun rangkaian elektronik. Kebiasaannya, komputer dipergunakan sebagai peranti untuk melakukan jenayah ini ataupun dijadikan sasaran. Ianya dilakukan melalui komputer dalam sambungan talian internet seperti mengeluarkan wang simpanan akaun milik orang lain, membuat jualan dalam talian palsu, menceroboh sistem kerajaan dan syarikat awam juga swasta. Kes penyalahgunaan siber ini tidak terhad setakat itu sahaja malahan cetak rompak dan pornografi juga merupakan sebahagian dari jenayah siber. Terdapat juga masalah privacy dimana maklumat-maklumat sulit dicuri sewenang-wenangnya oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Selain itu, berikutan dari kekangan media oleh kebanyakan negara yang ditadbir oleh golongan authoritarian, penyebaran maklumat dari media yang tidak sehaluan dengan perjuangan politik mereka amatlah digeruni. Sehingga sesiapa yang menyebarkan maklumat dan propaganda di internet yang dikhuatiri boleh menjejaskan nama baik dan kedudukan pentadbiran atau kepentingan mereka juga dianggap sebagai penjenayah siber.
Ruang lingkup jenayah siber merangkumi suatu konteks yang amat luas sekali. Pada kebiasannya, ianya terbahagi kepada dua kategori
- Penjenayah menyasarkan rangkaian komputer atau pun peranti yang menjadi storan menyimpan data yang sulit dan maklumat peribadi.
- Ianya dijana melalui komputer yang telah diprogramkan untuk menjalankan kerja secara sendiri. Sasaran utamanya, data dan maklumat sulit yang bebas dari kawalan rangkaian komputer.
Ini adalah beberapa contoh bentuk serangan utama utama penjenayah siber menyasarkan terhadap rangkaian komputer dan peranti;
- Cyberstalking (Pengintipan)
- Fraud (penipuan identiti) dan pencurian identiti
- Perang Informasi
- Phishing Scams
Definisi utama bentuk serangan penjenayah siber;
- Virus komputer merupakan sejenis aturcara komputer yang berupaya untuk menyalin (pengklonan) sendiri dan menjangkiti sesebuah atau banyak komputer yang dicapainya. Istilah ‘virus’ biasanya merujuk kepada beberapa jenis malware tetapi tidak terhad kepada adware atau spyware yang tidak memiliki keupayaan membiak dengan sendirinya. Sebagai contoh, satu virus komputer berupaya melakukan penyebaran dari satu komputer ke komputer yang lain (melalui kod aturcara .exe) dalam masa yang singkat apabila induknya disasarkan kepada komputer tersasar sama ada melalui rangkaian internet ataupun dibawa menggunakan medium seperti disket, CD, DVD dan pemacu USB.
- Denial of service attack atau serangan penafian hak akses adalah satu percubaan untuk menjadikan sumber data dan maklumat komputer tidak dapat dibuka kepada sesetengah pengguna. Walaupun terdapat pelbagai cara dan motif utama serangan ini, ia biasanya terbahagi mengikut kepada niat dan usaha individu dan kumpulan dalam mengekang internet atau sesuatu perkhidmatan komputer itu daripada berfungsi dengan baik sama ada buat sementara waktu atau selamanya. Dalang utama serangan DoS ini kebiasannya menyasarkan laman perkhidmatan seperti laman perbankan dan saluran pembayaran kad kredit. Istilah serangan ini biasanya juga merujuk kepada dalam rangkaian komputer semata-mata sahaja. Tetapi, ianya tidak terhad pada itu bahkan juga serangan terhadap pengurusan sumber CPU.
- Malware merupakan istilah singkatan kepada malicious software. Ianya dicipta bertujuan untuk menyelinap masuk secara sembunyi ke dalam komputer yang disasarkan tanpa pengetahuan pemilik komputer itu sendiri. Istilah ini kerap diungkapkan oleh para professional komputer untuk merujuk kepada pelbagai bentuk aturcara yang merbahaya serta memberikan ancaman terhadap komputer misalnya. Sesebuah perisian yang dianggap sebagai malware adalah disebabkan oleh niat sebenar pembangunnya dan bukan sebab dari ciri-ciri dan kelebihan yang ada pada perisian tersebut.
Perilaku jenayah tersebut dilakukan dengan begitu terselindung sekali sehinggakan amat sukar untuk pihak berkuasa mengenalpasti siapakah gerangan penjenayah tersebut kerana umumnya penjenayah tersebut adalah dari kalangan golongan berpengatahuan dan professional. Mereka mungkin adalah dari kalangan sahabat handai kita, pelajar atau pengajar kita dan mungkin juga ahli keluarga kita sendiri. Faktor utama yang mendorong mereka melakukan perkara yang tidak bermoral ini adalah kerana mungkin disebabkan perasaan syak wasangka terhadap ahli keluarga atau kenalannya tersebut, hasad dengki dan mungkin mereka telah diupah oleh golongan tertentu. Mereka mungkin saja menyerang sistem-sitem atas dasar suka-suka ataupun perasaan ingin mencuba kemahiran yang baru mereka pelajari itu. Selain itu juga, sifat tamak dan ingin cepat untung juga menjadi dorongan utama berlakunya jenayah siber. Ini kerana, sejak bermulanya alaf baru ini. Ramai yang mendapat keuntungan singkat dan luar biasa dengan melakukan jenayah siber. Tidak hairanlah, ada di kalangan mereka menjadikannya satu pekerjaan tetap berbanding pendapatan sampingan sahaja. Golongan cerdik pandai komputer ini akan cuba mengeksploitasikan kejahilan orang ramai terhadap komputer. Mereka akan mempergunakan ilmu mereka sehingga menyebabkan golongan buta IT ini menderita akibat tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab itu.
BERSAMBUNG KE BAHAGIAN 2
No comments:
Post a Comment