Tuesday, December 6, 2011

Review filem Misteri Jalan Lama



Rabu lepas aku berkesempatan menonton filem Misteri Jalan Lama arahan Afdlin Shauki di Berjaya Times Square. Kalau diikutkan hati, memang pada hari Isnin sudah lagi aku nak keluar tengok wayang tapi apakan daya Kuala Lumpur tetap dilanda hujan yang tak sudah-sudah. Dek kerana hujan, aku cukup risau nak keluar rumah. Yelah, aku ni mana kereta beb. Jadi nak kena harap public transport sajelah. Mungkin boleh dikatakan sudah terlambat bagi aku nak buat review kerana filem ni lebih seminggu ditayangkan di pawagam. Tapi rasanya itu bukan penghalang bagi aku.


Kali pertama aku perasan filem ni sewaktu preview di Astro Prima pada hari Rabu malam Khamis (aku tak ingat berapa haribulan) selepas balik dari kedai. Tarikan utama aku yang buat nak menonton preview filem ini sudah tentunya Nissan Fairlady yang dipandu oleh Hans Isaac!.  Bila layan preview jer aku rasa dah timbul macam minat sebab tertarik dengan sinematografi dan gerak kameranya yang boleh aku katakan sebagai mantap dan setanding filem luar kerana tidak statik dan kaku.


Aku tau ramai yang tak berapa suka filem sebegini lagi-lagi yang dibuat oleh orang kita, bagi mereka filem fantasy adalah mengarut!.Tapi cuba kalau filem tersebut dibikin oleh orang luar khususnya Hollywood. Konfem ramai yang telan bulat-bulat walaupun ianya mengandungi 'subliminal message' yang berunsur menghina Islam! Sebagai contoh, Harry Potter boleh pulak korang menerima bukan walaupun diselitkan unsur tahyul dan syirik. So, biar aku nilaikan filem mengikut perspektif aku sendiri. Aku yakin, ramai yang makan dalam sebab tertipu dengan tajuknya dan ingat ini cerita hantu bukan?! Hahahaha~


Bagi aku inilah hasil karya paling berani yang ditonjolkan oleh Afdlin Shauki setelah lebih 11 tahun aku meminati dan mengikuti perkembangan beliau dalam industri seni ini. Sungguhpun aku terlepas dari menonton filem Papadom dan Los & Faun, entah aku tak tahu mengapa tiba-tiba hati aku terdetik nak menonton filem ni. Untuk pengetahuan, genre filem Fantasy memang jarang diketengahkan oleh pengarah kita kerana merasakan genre Seram lebih profitable hasil sikap superstitous orang Melayu dan rakyat Malaysia secara am-nya. Kali terakhir genre fantasy dihasilkan adalah filem Magika arahan Yusry.


Filem ini mengisahkan hubungan dua adik-beradik yang berlainan kepala dan tak sebulu iaitu Indra (Hans Isaac) dan Illya (Que Haidar) yang dipertemukan semula selepas kematian bapa mereka, Datuk Iskandar (Tarmimi Siregar) dalam satu kemalangan tragik. Siapa sangka pertemuan mereka selepas 15 tahun terpisah bakal merubah kehidupan mereka buat selama-lamanya. Indra, seorang bekas pelumba kereka yang dibelenggu hutang oleh along telah mengambil kesempatan kematian bapa mereka untuk membayar semula hutangnya dengan wang tinggalan arwah bapanya. 


Namun, sesampainya beliau di sana. Beliau menemui pula wasiat arwah bapanya untuk membawa pulang adiknya Illya ke kampung di pantai timur untuk majlis pengkebumian. Maka, ketika dalam perjalanan pulang itulah bermulanya pengembaraan mereka yang mana bakal mengubah kehidupan mereka buat selamanya. Ego masing-masing kedua adik-beradik ini bakal dicabar dan dua dunia iaitu nyata dan ghaib bakal bersatu. Apa yang akan berlaku apabila manusia bertemu jin? 


Sepanjang 1 jam 40 minit aku menonton filem ini dengan penuh rasa bersungguh-sungguh dan curiousity mendalam untuk menghayati jalan cerita demi merungkai rahsia mesej sebenar filem ini. Persetankan segala kutukan sang Melayu buta seni di sekelilingku, ternyata ianya memberi sesuatu kepuasan yang berlainan bagi aku berbanding filem Melayu lain. Berbeza dengan filem cliche Melayu lain yang mengetengahkan unsur percintaan lelaki dan wanita, filem ni langsung tak menyentuh aspek tersebut sebaliknya menekankan unsur fantasi dan apa yang penting buat untuk dihayati bersama ialah nilai kekeluargaan iaitu tanggungjawab seorang anak kepada bapanya dan juga seorang abang kepada adik. 


Plot permulaan filem ni memang agak simple, kalau korang rajin tengok drama Melayu moden memang rajin unsur korporat diketengahkan tapi bila sampai ke klimaks filem ini memang berubah habislah kepada fantasi ala Harry Potter. No wonder, ramai yang tak paham cerita ini tapi aku relak ajer. Bagi mereka otak tipikal Melayu yang payah menerima cerita-cerita berat sebegini.




Pujian harus diberikan kepada pelakon utama filem ini iaitu Hans Isaac dan Que Haidar kerana gandingan mereka adalah mantap. Hans Isaac dari dulu memang kita lakonan beliau agak maintain macho dan ego watak yang ditunjukkan beliau cukup tinggi bahkan filem ini menyerlahkan lagi watak tersebut walaupun tanpa digandingkan dengan heroin. Begitu juga dengan Que Haidar yang mengetengahkan watak sebagai seorang adik yang naif tapi punya kekuatan yang tersendiri apa diketemukan dengan identitinya yang sebenar iaitu Putera kaum Nian. Kebetulan, aku sebenarnya tak perasaan siapa yang melakonkan watak Botak, samseng yang merampas Fairlady milik Indra. Selepas mengikuti review di blog lain baru aku perasan yang itu adalah Namron. Aku cukup tertarik dengan penyampaian loghat utara beliau, memang best!. Sampaikan aku tak sangka watak utama Sanggul Beracun tu rupanya berkongsi jasad yang sama, sungguh berbeza penampilan beliau beb!.




Skor muzik filem Misteri Jalan Lama ini bagi aku adalah yang terbaik dalam sejarah filem Malaysia selepas Merong Mahawangsa. Paling hebat sewaktu Indra dan Illya memasuki perkampungan puak Nian yang antara paling epik pernah aku dengar dalam filem tempatan, sungguh spine chilling!. Tahniah buat Pacai, aku yakin kalau Hans Zimmer mahupun Jesper Kyd (dua pengarah skor muzik yang paling aku kagumi) dengar konfem mereka akan tabik. Aku yakin beliau boleh sampai ke tahap mereka. Sekurang-kurangnya di Malaysia ini.


Sinematografi yang mereka paparkan cukup bersesuaian, mood vignette yang dipaparkan demi membawa elemen kesuraman ternyata kena dengan sinematografi. Aku memang suka mood sedemikian. Lebih-lebih filem ini mengisahkan tentang dua beradik yang baru kehilangan bapa tambah diperkuatkan lagi dengan lakonan yang cukup berkesan. Unsur kemelayuan memang tetap tak dipinggirkan terutama sekali pakaian puak Nian (kecuali baju perang, hak tu aku perjelaskan nanti)


Part adegan intimate antara Ilya dan isteri kaum Nian-nya (lakonan Marion Counter) sungguh menarik kerana ianya berjaya disembunyikan tanpa perlu dedah sana-sini. Cara pengarah Afdlin Shauki menggambarkan adegan sensual tersebut dengan cara tersembunyi cukup mudah untuk memberi pemahaman tentang apa yang berlaku pada malam itu tanpa perlu paparan aksi berahi tahap filem biru. 


Babak terakhir iaitu kapal layar terbang amatlah menarik sekali bagi aku kerana belum pernah babak sedemikian muncul dalam filem-filem tempatan. Oleh itu, secara tidak langsung kita dapat mengetahui tahap imaginasi tinggi yang dimiliki oleh Afdlin Shauki. Syukur alhamdullillah, saya sehingga kini masih menyokong usaha beliau.


Walaubagaimanapun aku tak nafikan filem ini turut memiliki kelemahan tersendiri. Biasalah, mana ada benda yang perfect kan?, hatta filem Hollywood pun kalau diperhatikan betul-betul terdapat sedikit cacat-cela inikan pulak filem kita. Okay, jika dilihat dalam bentuk penceritaan. Mengapa dan bagaimana boleh terjadi konflik di antara kaum Nian dan Ghoul?, kita sudah sedia maklum bahawa kaum Nian adalah perlambangan Orang Bunian manakala Ghoul mungkin diinspirasikan dari Jin Genderuwono dari masyarakat Jawa. Filem fantasi ini secara tidak langsung mengangkat elemen mistisisme bangsa Melayu ke tahap yang lebih tinggi. Namun begitu, bagaimana boleh berlaku perang antara dua kaum makhluk halus ini?, mengapa harus tunggu kedatangan Ilya baru kaum Ghoul beriya-riya sangat nak menghapuskan kaum Nian sedangkan mereka punya masa untuk berbuat demikian selama 25 tahun apatah lagi kaum Nian masih tidak beraja dalam tempoh tersebut. Banyak lompong la beb.


Babak dialog Harak selaku Raja kaum Ghoul merupakan satu babak menarik kerana menggunakan suatu bahasa asing yang tidak pernah kita dengari. Mungkin kali pertama dalam sejarah perfileman negara, bahasa buatan atau constructed language berasaskan bahasa Melayu dicipta untuk sesuatu babak dalam filem. Tapi malangnya, ia tidak disertakan dengan sari kata agar penonton mudah memahami apa yang diperkatakan. Akibatnya, babak menarik tersebut kelihatan cacat dan tergantung tanpa sebarang pengertian kasar yang mudah difahami penonton.


Sebuah filem bergenre-kan fantasi memang tak sah kalau tidak menampilkan elemen-elemen  imej janaan komputer (CGI) dan ini sudah satu kemestian supaya ianya tampak lebih menarik. Scene durian jatuh apabila Ilya bertempik menggerunkan geng Botak merupakan salah satu plot menarik dan lucu sekali walaupun tidak se-perfect sangat pun. Akan tetapi apabila sampai plot Istana Raja Nian ianya nampak tidaklah se-realistik mana. Aku akui bajet mungkin masalah disamping skill CGI dan para animator belum sampai ke tahap yang lebih tinggi seperti krew-krew dari luar negara.






Paling terakhir sekali, babak Raja Nian iaitu Nasir Bilal Khan ketika ingin bertempur dengan Harak di atas jalan raya. Meskipun elemen kemelayuan sudah ditonjolkan pada awal babak kaum Nian. Namun begitu sebaliknya pula berlaku, elemen kemelayuan tidak berjaya ditonjolkan pada pakaian pahlawan Raja Nian!. Baju besi Roman Legion dan Tentera Salib pulak jadi inspirasi pereka pakaian prop!!??. Persoalannya, perlukah ada puting dan perut buncit. Bahagian perut sepatutnya dihiasi six pack tapi perut yang buncit pulak ditonjolkan. Ini menjadikan pakaian pahlawan tersebut kelihatan lucu sekali!. Pada pendapat akulah, apa salahnya pakaian panglima perang Melayu zaman dahulu dijadikan sumber inspirasi. Setakat baju besi tu, baju zirah panglima Bugis yang ada di Muzium Kota Ngah Ibrahim di Taipang, Perak tu boleh dibuat rujukan oleh pereka kostume filem ni.


Walau bagaimana sekalipun, ini bukan sebab filem ni tak wajib ditonton cuma kadangkala aku kesal jugak dengan sikap penonton kita yang tak boleh nak berfikir apabila menonton sesuatu filem tu. Asal kurang sikit, bising mengutuk dalam panggung mengganggu konsentrasi penonton yang lain. Apa nak tengok filem sekadar cuci mata je ker?, tolonglah hargai penggiat filem tanah air. Kalau tak nak tengok filem berat-berat macam gini, lebih baik lah korang tengok filem arahan Professor Razak Mohaiddeen tu. Lagipun senang ringan otak korang nak menghadamkan mesejnyer kan. Inilah 'dilema' penonton Melayu kita. Aku perasan ada 2-3 orang awek yang lagi muda daripada aku kat belakang panggung dok mengutuk menyesal tengok filem ni dan aku yakin mereka ni spesies yang tak berfikir panjang dan pikir nak senang jer beb. 


Begitulah jadilah sampai bila filem kita nak maju kalau orang kita memiliki mentaliti sebegini yang tahu asyik nak mengutuk saja?. Namun begitu aku merasakan mungkin silap Afdlin Shauki menamakan filem ini sebagai "Misteri Jalan Lama" kerana perkataan misteri itu sinonim dengan hantu jadi tak hairanlah mereka (gadis-gadis di belakangku) boleh rasa tertipu. Sepatutnya filem ini dinamakan "Rahsia Jalan Lama" supaya sindrom tipikal Meleis ini dapat dibendung.


Shacklesmith : Bagi aku, filem ini tetap memuaskan. Kudos for Afdlin Shauki, beliau sewaktu aku berangan-angan nak jadi pengarah filem adalah idola aku. Suka tengok lawak dia beb.

No comments:

Cool Link's Mesti Clicks!

SocialPromoter

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Masuk Jangan Segan-Segan

Nak Ke Mana Pulak Tu?

Jangan Ke Mana-Mana!!

Wibiya Widget